IPOH: Projek tebatan banjir di seluruh negara akan dimulakan semula Jun ini.
Perkara itu dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekaligus menafikan berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya mendapati ada antara projek tebatan banjir yang dianugerahkan secara rundingan terus sehingga membabitkan kos terlalu tinggi.
Berikutan itu, kerajaan terpaksa meneliti semula kelulusan yang sudah diberikan kepada syarikat terbabit bagi memastikan perbelanjaan negara dapat dijimatkan sebaik mungkin.
“Kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan besar sehingga RM15 bilion bagi tebatan banjir, jadi perlu urus dengan baik kerana projek ini bertujuan menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat.
“Jangan jadikan tebatan banjir untuk ambil duit, disebabkan itu saya tegas sehingga ada yang marah kerana saya mahu projek ini diurus dan dibuat dengan betul.
“Ada projek yang kerajaan sudah luluskan ikut rundingan terus. Tak salah rundingan terus, tapi yang salah ada perjanjian lain bawah meja sehingga kos melambung,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Air Sedunia (HAS) 2023 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, ketika ini perbekalan bagi projek tebatan banjir sedang dilakukan kerajaan secara tender terhad.
“Bila kita kaji balik projek ini, ada yang harganya terlalu tinggi…sebab itu kita minta dibentangkan kelulusan awal dan disegerakan proses peralihan kepada tender terhad yang lebih telus.
“Kita mahu proses ini dibuat dalam keadaan teratur mengikut sistem dan harganya perlu munasabah. Saya tidak tahu harganya, tetapi kita ada pakar yang boleh menentukannya dan fasa pertama dijangka boleh mula Jun ini.
“Saya bukan sengaja mahu lengahkan projek ini, tetapi saya mahu pastikan setiap sen duit kerajaan tidak disalah guna,” katanya.