Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) akhirnya menerima lampu hijau daripada Kerajaan Pusat apabila Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekiling (EIA) diluluskan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 11 April 2023 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Kelulusan yang diberikan adalah berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.
“Lanjutan daripada kelulusan EIA yang diperoleh, Kerajaan Negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP), PSI kini sedang dalam proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang.
“Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh, yang mana ia dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini,” katanya dalam sidang media di KOMTAR, pagi tadi.
Tambahnya lagi, kelulusan diberikan untuk pembinaan tiga pulau, yang ketika ini dinamakan sebagai A, B dan C.
Bagaimanapun pembinaan akan dimulakan di pulau A berkeluasan 283 hektar terlebih dahulu yang dijangka mengambil masa selama sembilan tahun sebelum diteruskan kepada pulau B dan C.
Beliau juga memaklumkan laporan EIA yang diluluskan akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation, untuk bacaan umum.
Laporan EIA pertama projek berkenaan diluluskan pada 25 Jun 2019, namun dibatalkan susulan bantahan beberapa pihak.
Selepas beberapa perubahan dan penelitian, laporan baharu diserahkan 29 April 2022.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.
Projek itu menimbulkan kontroversi selepas mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di kawasan berkenaan.