comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek SMPEM kurangkan kebakaran hutan paya gambut 

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Insiden kebakaran hutan paya gambut di Semenanjung berjaya dikurangkan pada tahun lalu susulan pelaksanaan projek Pengurusan Mampan Ekosistem Tanah Gambut di Malaysia (SMPEM).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, insiden kebakaran hutan paya gambut pada tahun lalu hanya melibatkan keluasan 25.2 hektar berbanding seluas 385.2 hektar pada 2020.

“Begitu juga bagi Selangor dan Pahang, yang mana keluasan kebakaran hutan paya gambut pada 2020 masing-masing adalah 160 hektar dan 171.7 hektar dan telah berkurangan kepada 6.9 hektar dan 2.1 hektar sahaja pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek SMPEM bertujuan menguruskan tanah gambut di negara ini secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelakkan degradasi dan kebakaran serta menjana faedah kepada generasi pada masa kini dan masa hadapan.

Pelaksanaannya melalui pendekatan secara holistik dengan memperkasakan tata kelola institusi, meningkatkan koordinasi antara agensi dan penglibatan masyarakat setempat.

Menurut Nik Nazmi, antara hasil awal yang diperolehi daripada aktiviti projek SMPEM dan Projek Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Projek Pengurusan dan Konservasi Hutan Simpan Paya Gambut dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung adalah mengawal serta mengurangkan insiden kebakaran hutan paya gambut.

“Projek ini telah bermula pada Disember 2020 dan melibatkan lima landskap tanah gambut di Sabah, Sarawak, Pahang dan Selangor. Salah satu aktiviti utama projek ini ialah mengemas kini Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (NAPP).

Sementara itu, jelas Nik Nazmi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mengambil beberapa inisiatif untuk mengelak kebakaran tanah gambut dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia susulan kenyataan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) semalam yang menjangkakan negara mengalami keadaan cuaca kering berikutan fenomena El-Nino pada tahun ini.

Tambahnya, risiko daripada keadaan tersebut berkemungkinan berlaku peningkatan kebakaran tanah gambut di seluruh negara yang boleh menyebabkan jerebu dan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera.

Pada masa sama, beliau menyeru supaya kerjasama kolektif daripada pelbagai pihak diperkukuhkan untuk memulihara dan memelihara ekosistem tanah gambut yang sangat berharga demi generasi masa kini dan akan datang.

Semalam, METMalaysia memaklumkan cuaca panas dan kering akan berterusan susulan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini