Tumpuan :
Nasional

Projek RKAT Kem Lok Kawi dijangka siap Ogos

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Lok Kawi dijangka siap pada 4 Ogos tahun ini sekaligus memperkasakan lagi usaha kekuatan serta kesiapsiagaan para anggotanya terutama aspek perumahan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia bakal memberi manfaat kepada 513 keluarga warga pertahanan yang bertugas di sekitar kawasan Kem itu setelah siap sepenuhnya.

“Menjadi fokus kepada Kementerian iaitu soal kesejahteraan anggota dan dalam soal kesejahteraan anggota ini ia berkait rapat dengan soal penyediaan rumah untuk anggota-anggota dan hari ini kita berada di tapak untuk meninjau satu projek,

“Saya telah dimaklumkan mengenai kemajuan kerja-kerja dan saya berpuas hati dan telah dimaklumkan iaitu projek ini boleh siap dalam bulan Ogos tahun ini juga jadi tarikh yang tepat yang dinyatakan ialah pada empat haribulan bulan lapan tahun ini,” katanya dalam sidang media di tapak projek pembinaan RKAT, Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Projek Pembinaan RKAT Kem Lok Kawi bernilai RM188 juta itu telah dimulakan pada 22 Februari 2022 dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk tempat letak kenderaan terbuka, taman permainan kanak-kanak, pencawang elektrik, menara tangki, rumah pam dan rumah sampah.

Terdahulu Mohamed Khaled diberi taklimat mengenai kemajuan projek berkenaan serta meninjau sendiri kerja-kerja pembinaan bangunan terbabit bersama Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin.

Secara keseluruhan, terdapat empat buah blok penginapan di Kem Lok Kawi dan 161 pintu RKAT melibatkan Kem Lok Kawi, Kem Brooke, Kem Paradise, Kem Penampang dan Kem Sri Kinabatangan akan terlibat dalam senggaraan bagi tahun ini.

“Tahun lepas Kem Lok Kawi kita peruntukkan RM3.2 juta semuanya sudah siap tahun ini sebanyak RM2.9 juta sambung rumah-rumah yang lain yang perlu diselenggara dan juga dinaik taraf,

“Kementerian memperuntukkan sebanyak RM11.3 juta untuk menyelenggara rumah-rumah yang lain yang terdapat di kem yang lain jadi itulah antara perkara-perkara yang kita tinjau dan taklimat yang diberikan oleh 5 Divisyen yang kita akan ambil perhatian,” katanya.

Selain meninjau pelaksanaan projek RKAT, lawatan kerja beliau ke sini juga antara lain bertujuan memantau dan menilai keadaan keselamatan pertahanan Sabah serta menyantuni warga 5 Divisyen dalam kalangan tentera dan awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang bertugas di negeri itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini