KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi memberi ruang kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan semua aspek.
“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa terma-terma rujukan jawatankuasa berkaitan adalah untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat serta menilai penjadualan waktu kerja.
“KKM akan meneruskan usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutama petugas kesihatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM menarik balik pekeliling cadangan pelaksanaan WBB, yang merupakan sistem syif baru untuk pekerja penjagaan kesihatan awam.
HDK menegaskan agar pekeliling WBB ditarik semula segera bagi mengelakkan kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan.
Selain itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB, yang dikatakan akan memperburuk kekurangan tenaga kerja serta membebankan doktor dengan tugas berlebihan, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Semalam, MMA mengadakan pertemuan dengan Dr Dzulkefly dan pegawai kementerian untuk membincangkan isu-isu berkaitan petugas penjagaan kesihatan serta sistem penjagaan kesihatan awam.
Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata antara isu yang dibincangkan adalah dasar WBB yang didakwa menyebabkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan doktor, terutama doktor muda, sepanjang minggu lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.