Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan projek perintis Dasar Gaji Progresif dengan kadar segera.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, arahan itu dikeluarkannya sebagai usaha membolehkan pekerja memperoleh gaji yang lebih bermaruah dan wajar.
“KSM akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi untuk menjayakan pelaksanaan projek perintis ini dan usaha-usaha lain bagi mereformasikan pasaran buruh negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 November lalu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengatasi masalah struktur pasaran buruh melalui reformasi gaji.
Tambah Sim, keputusan itu antara tiga teras utama yang ditekankan setelah beliau diberikan amanah sebagai Menteri Sumber Manusia, sebagai perancangan dan hala tuju pada tahun depan.
Teras tersebut merangkumi usaha memperkukuh kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan atau produktiviti pekerja.
Selain itu, setelah membuat pertimbangan, Sim turut mengarahkan Human Resources Development Corporation (HRD Corp) untuk tidak meneruskan projek ‘Skills Passport’.
Ujarnya, projek tersebut telah tertangguh lebih setahun dan KSM mendapati ia tidak lagi sesuai untuk pelaksanaan.
“KSM akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara yang julung sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja serta mempersiap pasaran buruh yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar (decent work) selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
Sementara itu, Sim melantik aktivis kesatuan sekerja, Chee Yeeh Ceeu sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau dengan harapan pelantikan terbabit membolehkan penglibatan lebih rapat kaum pekerja dalam pembuatan dasar di peringkat kementerian.
Chee adalah Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) dan Ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), selain aktivis gerakan buruh yang mempunyai 15 tahun pengalaman aktif dalam pergerakan kesatuan sekerja.