PETALING JAYA: Menerusi program penghutanan semula Projek RELeaf, Nestlé Malaysia telah mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang penting kepada usaha pemulihan ekologi negara di bawah kempen Penghijauan Malaysia yang bertujuan menanam 100 juta pokok menjelang 2025.
Dengan kejayaan menanam 1.5 juta pokok di bawah Projek RELeaf, di samping 1 juta pokok yang telah ditanam sebelum ini di bawah Projek RiLeaf (disempurnakan pada 2020), syarikat kini telah mencapai mercu jaya penting menanam sebanyak 2.5 juta pokok secara keseluruhannya.
Pencapaian ini sekaligus memperlihatkan komitmen kepada amalan lestari dan pemuliharaan alam sekitar menerusi strategi positif hutan. Syarikat akan meneruskan usaha menanam 1.5 juta lagi pokok menjelang separuh pertama 2025 untuk mencapai angka 4 juta pokok, dengan 3 juta ditanam selepas tamat perintah kawalan pergerakan pada 2021.
Semasa memulakan proses penghutanan semula dengan Project RiLeaf, ia telah menerajui program penanaman 1 juta pokok di Kinabatangan Wetlands, Sabah yang penting dari segi ekologi, dari tahun 2011 hingga 2020.
Inisiatif penghutanan semula di tebing sungai ini merupakan kunci kepada usaha mewujudkan persekitaran harmoni di mana manusia, alam sekitar dan kegiatan
pertanian boleh wujud secara sinergi, yang bertumpukan usaha memelihara nadi kehidupan penting di rantau ini – air.
Matlamat tersebut dicapai dengan membuka koridor alam bagi hidupan liar dan mencipta sekatan semulajadi dengan mengehadkan aliran bahan pencemar ke dalam sungai sambil memulihkan zon penampan di sepanjang tebing Sungai Kinabatangan dan saluran air lain di ladang- ladang kelapa sawit.
Aktiviti penanaman ini juga menyediakan sumber hasil tambahan bagi komuniti tempatan di kawasan penanaman, seterusnya menambah punca pendapatan mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.