Tumpuan :
Nasional

Projek PLSB Sungai Golok perlu diteruskan untuk atasi masalah banjir

Nik Nazmi pada sidang selepas beramah mesra bersama pengamal media negeri Kelantan. – Foto NSTP

KOTA BHARU: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok wajar diteruskan bagi mengatasi masalah banjir sekalipun ia mendapat bantahan dalam kalangan penduduk.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sekiranya projek berkenaan diteruskan, sebahagian tempat yang sering dilanda banjir menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya turut mengakui terdapat beberapa kampung termasuk Kampung Tersang yang terkesan dan sering dilanda banjir akibat pembinaan projek berkenaan.

“Namun projek berkenaan masih dalam pembinaan dan belum siap sepenuhnya. Projek berkenaan perlu diteruskan untuk menahan banjir.

“Segala permasalahan yang dibangkitkan penduduk sebelum ini sudah dibawa dan dibincangkan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kerja-kerja lanjutan juga sudah dimulakan.

“Terdapat permohonan penduduk yang mahu pintu air ditambah dan hasil perbincangan dengan JPS, kita adakan penambahbaikan daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada projek berkenaan akan diteruskan susulan penduduk membantah supaya projek itu berikutan beberapa kampung sering dilanda banjir.

Terdahulu, Nik Nazmi mengadakan pertemuan dengan pengamal media Kelantan di Hotel Perdana, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, hampir 100,000 penduduk daripada 62 kampung di sini, kecewa dengan pembinaan PLSB Sungai Golok yang dianggap gagal.

Susulan itu, lebih 500 penduduk yang terjejas banjir disebabkan projek itu menyertai demonstrasi aman bagi menyuarakan bantahan dan rayuan berhubung nasib mereka akibat bencana yang berlaku selepas pembinaan benteng terbabit pada 13 Januari lalu.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini