Tumpuan :
Nasional

Projek perintis MITI bersama Kerajaan Selangor dan Johor sedia stesen pengecasan EV pantas setiap daerah

Foto: NSTP

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang bekerjasama dengan kerajaan Negeri Selangor dan Johor bagi projek perintis memastikan setiap daerah di dua negeri itu mempunyai Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV).

Menurut Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong, projek perintis itu selaras dengan sasaran MITI memastikan 1,500 stesen pengecasan pantas EV di seluruh negara menjelang 2025.

“Untuk daerah- daerah yang tiada stesen pengecasan EV, MITI sedang berusaha dengan kerajaan Selangor dan Johor bagi memastikan setiap daerah ada beberapa stesen pengecasan pantas.

“Ini usaha kami (MITI) telah laksanakan, selepas projek perintis di Selangor dan Johor kita boleh perluas ke semua negeri pastikan semua daerah ada stesen pengecasan EV,” jelasnya.

Tambah Chin Tong, sehingga kini sebanyak 5,000 stesen pengecasan EV dan 500 stesen pengecasan pantas EV telah dibina di seluruh negara.

“Pertama sasaran MITI masih kekal 10,000 stesen pengecasan, sebenarnya bukan soal berapa stesen pengecasan tetapi yang penting stesen pengecasan pantas.

“MITI telah meningkatkan sasaran daripada 1,000 unit stesen pengecasan pantas ke 1,500 unit menjelang 2025. Sekarang ada 500 (stesen pengecasan biasa), kita harap dapat stesen pengecasan dengan arus terus kerana ia pengecasan pantas,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai langkah-langkah kerajaan mengalakkan para pemain industri tempatan mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik mencapai sasaran SDG 2050 dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini