comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek penswastaan perlu terap tatakelola tegas, titik berat keperluan pekerja – PM

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap projek dalam Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) diterapkan prinsip tatakelola yang tetap, tegas dan tidak bertolak ansur dengan kecurangan yang menjahanamkan perubahan negara.

Anwar berkata, syarikat yang diswastakan juga perlu memikirkan beberapa aspek keperluan pekerjanya dan bukan mengejar keuntungan semata-mata.

“(Syarikat) mesti memikirkan soal keperluan keluarga yang mampu mendirikan syarikat itu dan keperluannya (adalah) kadar upah, perumahan, dan pendidikan, selain daripada kesihatan dan lain-lain mengikut kadar dan keupayaan syarikat.

Foto: NSTP

“Ini keistimewaan apa lagi harus diperkukuh dalam konsep MADANI. Pengajaran yang saya nak sampaikan di sini bagaimana harus kita teruskan dalam pelan Kerjasama Awam-Swasta (Public-Private Partnership – PPP) dan mengambil kira konsep ini.

“Peranan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) ini adalah untuk memastikan kepesatan kelulusan yang tidak terikat kerenah birokrasi berlebihan, tetapi tidak berganjak dengan prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak dari sebarang kecurangan yang telah menjahanamkan sebahagian perubahan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran PIKAS 2030 di Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini, yang turut dihadiri Jemaah Menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan dan sektor swasta.

Foto: NSTP

PIKAS 2030 adalah kesinambungan daripada dasar dan garis panduan PPP sedia ada yang telah diberi nilai tambah dengan hala tuju yang lebih jelas serta terangkum.

Pelan induk terakhir berkaitan PPP telah digubal pada tahun 1991 dikenali sebagai Pelan Induk Penswastaan (PIP 1991) yang kini telah berusia 33 tahun.

Foto: NSTP

Matlamat utama PIKAS 2030 adalah menyediakan landskap PPP yang teguh dan mampan untuk memacu kesejahteran negara.

Ia disokong tiga objektif utama iaitu meningkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion, menjana sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion dan meningkatkan peluang pekerjaan sebanyak 900,000 pekerjaan menjelang tahun 2030.

 

Loading...
Terkini