comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok dijangka siap Ogos ini

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM656 juta untuk projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, berkata pembinaan Fasa 1 membabitkan empat skop utama iaitu, Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Ban Sungai Mentua.

Katanya, sehingga 10 Januari lalu, kemajuan keseluruhan fizikal kerja-kerja sebenar di tapak sudah mencapai 72 peratus berbanding jadual 48 peratus mendahului sebanyak 514 hari.

“Objektif bagi projek ini adalah mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berdekatan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas, meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir serta mendalamkan muara Sungai Golok bagi penambahbaikan laluan bot dan perlindungan muara Sungai Golok daripada risiko banjir pantai.

“Kelantan menerima hujan yang sangat lebat bermula 17 hingga 19 Disember 2022 dengan kebanyakan kawasan menerima hujan melebihi 800 milimeter (mm).

“Rekod hujan ini melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi negeri Kelantan iaitu sebanyak 500 mm sekali gus menyebabkan aras air sungai-sungai utama melimpah melebihi aras ban sehingga menyebabkan kejadian ban pecah di Lanchang Lemal pada 20 Disember 2022.

“Ditambah fenomena air laut pasang besar juga turut mendorong keadaan yang lebih teruk kerana air sungai tidak dapat mengalir keluar ke laut dengan cepat mengakibatkan banjir kepada bahagian hilir Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, lebih 30,000 penduduk di Rantau Panjang mahu menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi mendesak kajian semula dilakukan ke atas projek PLSB Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan.

Sungai Golok adalah sungai yang bersempadan dengan Thailand dan dikongsi bersama sepanjang 106.1 kilometer (km) dengan kawasan tadahan seluas 1,028 kilometer persegi (km2) di sebelah Malaysia dan 1,147km2 di sebelah Thailand.

Md Nasir berkata, pembinaan PLSB Sungai Golok Fasa 1 mengambil kira kawasan paling berisiko iaitu kawasan rendah atau hilir yang paling mudah berlakunya limpahan Sungai Golok berbanding kawasan di Fasa 2 di bahagian hulu.

“Sehubungan itu, dakwaan bahawa projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 yang dibina menjadi halangan air adalah tidak benar, sebaliknya sebahagian ban yang disiapkan dalam projek ini berjaya mengurangkan kerosakan banjir yang lebih teruk.

“Pembinaan infrastruktur perlindungan banjir bagi kawasan lembangan Sungai Golok mempunyai kesinambungan melalui PLSB Sungai Golok Fasa 2 yang akan memberi tumpuan kepada kawasan di sepanjang Sungai Golok khususnya Rantau Panjang dan kawasan penempatan di sebelah kiri Sungai Lanchang Lemal.

“Justeru Kerajaan Persekutuan akan segera melaksanakan PLSB Sungai Golok Fasa 2 bagi mengurangkan kejadian banjir di Rantau Panjang,” katanya.

Loading...
Terkini