Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Projek pelabuhan, jambatan darat Thailand beri faedah kepada Malaysia – Anwar

 

BUKIT KAYU HITAM: Cadangan Thailand untuk membina pelabuhan dan jambatan darat yang akan memintas laluan perkapalan di Selat Melaka, akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan Thailand turut memberi jaminan untuk melibatkan Malaysia dalam projek di selatan Thailand itu.

Foto: Facebook Anwar Ibrahim

Bagaimanapun, setakat ini, Malaysia katanya, masih belum memutuskan sama ada akan menyertai projek terbabit.

“Dalam perbincangan tadi, Perdana Menteri Thailand (Srettha Thavisin) sebut akan babitkan Malaysia dan ia akan turut beri manfaat kepada negara ini terutama utara Semenanjung.

“Bagi kita, ada faedah dan manfaat kemudahan di situ, cuma secara terperinci sama ada kita akan menyertainya atau ada ekuiti masih terlalu awal,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, hari ini. – Foto PMO

Melalui projek itu, laluan sejauh 90 kilometer yang akan dibina  dapat mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka yang sebelum ini adalah laluan laut utama yang sibuk.

Srettha dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini, bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Srettha Thavisin, di Bangunan CIQ Sadao, Thailand.

Terdahulu, Anwar yang melakukan lawatan kerja ke Sadao mengadakan perbincangan tertutup dengan rakan sejawatnya, Srettha Thavisin, dekat sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin turut melawat Kompleks CIQS Sadao yang masih dalam pembinaan dan membincangkan isu berkaitan jajaran baharu laluan pintu masuk utama darat antara dua negara terbabit.Anwar berkata, Malaysia komited menyelesaikan isu jajaran baharu berkenaan bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik di pintu sempadan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin menyertai lawatan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, hari ini. – Foto PMO

“Kalau kita lihat (pembinaan) CIQS Sadao lebih cepat berbanding kita. Walaupun CIQS kita lebih awal (siap) daripada Thailand, yang tertangguh adalah jalan yang perlu kita siapkan segera, tapi mengambil sikit masa kerana menyentuh laluan kawasan tentera.

“Kita akan berunding dalam tempoh dua minggu untuk memuktamadkan. Saya tak mahu perkara ini tertangguh lagi kerana sikap kerajaan Thailand sekarang lebih lunak dan akrab, mahu menjadikan kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia turut menyatakan hasrat meneruskan rancangan pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok selewat-lewatnya tahun depan.

“Sekiranya Thailand setuju, kita boleh dapatkan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan segerakan pembinaan jambatan, saya akan maklumkan kepada Kabinet pada Jumaat ini untuk segerakan perkara ini,” katanya.

Loading...
Terkini