Oleh: Afrina Romzi
KLANG: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) telah siap 95.6 peratus dan bakal beroperasi menjelang suku ketiga tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerja fizikal pembinaan LRT3 itu bakal disiapkan pada Oktober dan selepas itu pengintegrasian sistem dan ujian akan dilaksana.
“(Pengoperasian) ini ada sedikit kelewatan berbanding jadual asal pada Mac tahun depan. Kelewatan ini adalah kerana semasa pandemik COVID-19, ada banyak kerja yang tidak dapat dilaksana.
“Namun begitu, pihak Prasarana bersama dengan kontraktor dan semua pihak terlibat telah berusaha untuk mengejar kembali masa dan kita berjaya mengurangkan kelewatan itu,” katanya kepada media selepas meninjau projek LRT3 hari ini.
Projek pembinaan LRT3 itu melibatkan kos RM16 bilion dengan 20 stesen yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor.
Ia bakal memberikan manfaat kepada dua juta penduduk dengan jumlah penumpang sehingga 300,000 sehari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 telah mengumumkan pengembalian skop asal LRT3 melibatkan lima stesen iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Jelas Loke, kos pengembalian skop ini berjumlah RM3.8 bilion dan melibatkan kerja-kerja lain termasuk pembelian tujuh set tren tiga gerabak, 150 bas elektrik pengantara serta pembinaan tiga depo bas.
“Sebelum ini skop asal tidak melibatkan bas pengantara. Jadi kita rasa ada keperluan kita meletakkan skop ini supaya pengintegrasian ‘first mile dan last mile’ itu dapat kita tambah baik,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan lima stesen dan kerja-kerja lain ini akan mengambil masa dua tahun, tetapi tidak akan menjejaskan tarikh pembukaan LRT3 dengan 20 stesen tahun depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.