comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan Pusat setuju biayai projek LRT Pulau Pinang

Oleh Selwam Arjunan

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan pusat bersetuju untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dengan menambah dana dalam satu skim kewangan kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Datuk Seri Anwar berkata, Pulau Pinang sudah berdepan kesesakan lalu lintas yang keterlaluan sejak sekian lama dan amat memerlukan LRT untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, satu pertemuan dengan kerajaan negeri akan diadakan dalam tempoh satu ke dua minggu lagi bagi membincangkan berhubung skim untuk pelaksanaan projek terbabit.

“Saya telah menelitinya di jemaah menteri dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan kerajaan persekutuan akan tambah dana dalam satu skim yang besar untuk membolehkan kerajaan negeri dengan segera melaksanakan projek LRT.

“Anthony Loke (sebagai menteri pengangkutan) ada sini, beliau memberi persetujuan secara prisinp. Semalam saya ada perjumpaan dengan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan pegawai kewangan untuk mencari kaedah yang baik (dana untuk kerajaan Pulau Pinang melaksanakan LRT).

“Oleh itu, dalam tempoh satu ke dua minggu kita akan adakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang untuk mengadakan skim yang benar-benar cukup kerana peruntukan (projek LRT) agak besar termasuk juga pinjaman yang memerlukan campur tangan Kerajaan Persekutuan dapat disegerakan,” katanya ketika berucap dalam Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di UiTM Pulau Pinang, di sini, tengahari tadi.

FOTO: NSTP

Jelasnya, pengumuman yang dibuatnya juga adalah dalam usaha meredakan pelbagai isu kontroversi yang melanda di bawah pentadbirannya termasuk berkaitan Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Beliau percaya bahawa kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengambil pelbagai langkah untuk memberi jaminan kepada semua pihak bagi isu yang sedang berbangkit.

“Saya membuat pengumuman ini untuk meredakan permasalahan ini supaya dapat dikaji semula oleh kerajaan negeri supaya diperkecilkan skop (tambakan laut).

“Saya dengar keluhan ini (projek PSI) dan ia tidak semuanya benar kerana Ketua Menteri dan pimpinan negeri telah mengambil semua langkah untuk memberi jaminan kepada nelayan, termasuk permasalahan hakisan, pembangunan semula perkampungan Melayu di beberapa tempat dan kawasan majoriti India serta juga Gertak Sanggul, majoriti Cina.

“Tetapi alasan dan rasional terpenting ialah bahawa Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberikan dana yang cukup terutamanya untuk pembangunan infrastruktur yang mendesak di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Loading...
Terkini