comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Projek LCS diteruskan, lalui pelaporan berkala kepada Parlimen

Oleh: Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi jaminan projek projek Perolehan Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan kerajaan.

Beliau berkata sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan memindahkan hak milik Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) sebagai anak syarikat kementerian itu selaras dengan syarat yang dipersetujui.

“Walaupun menubuhkan SPV, pelaksanaan projek pembinaan lima buah LCS itu akan terus dipantau melalui Project Monitoring Committee (PMC).”

“Perolehan itu penting bagi meningkatkan keupayaan armada selaras dengan Pelan Transformasi 15 to 5 TLDM untuk memelihara kedaulatan perairan negara. Kementerian bersama TLDM dan BNSSB akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan projek LCS berjaya disempurnakan,” katanya.

PMC dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan di samping pelaporan dan pembentangan secara berjadual kepada Jemaah Menteri.

Tambah beliau, pelaporan berkala akan diberikan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya kemajuan projek LCS dapat dipantau bersama semua pihak.

“Ini perlu untuk kita memastikan hasrat untuk meneruskan pembinaan LCS ini dapat dicapai dan berjaya sepertimana yang dikehendaki oleh pihak TLDM dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).”

“Projek ini akan bermula sekarang selepas kita tandatangan ini dan kita berharap supaya kapal pertama akan dapat disiapkan pada November 2024 dan seterusnya akan dapat ditauliahkan setahun (kemudian) atau pada 2026 setelah lulus ‘Harbour Acceptance Test’ dan ‘Sea Acceptance Trial’,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kontrak Tambahan Keenam, hari ini.

Kontrak yang ditandatangani sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) menyaksikan Kementerian Pertahanan diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abd. Aziz, manakala BNSSB diwakili Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman

Loading...
Terkini