Tumpuan :
Nasional

Projek KXP wajar diberi pertimbangan- Sultan Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi salah satu projek berimpak tinggi negeri Kedah, wajar diberi pertimbangan oleh kerajaan persekutuan.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah perancangan untuk membangunkan projek KXP telah bermula sejak tahun 2013 dengan 5 kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan.

“Berdasarkan kepada kajian-kajian tersebut, pembangunan KXP bakal menjadi “Economic Game Changer” kepada Negeri Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hub ‘Maintenance, Repair & Overhaul’ (MRO).”

“Selain itu, projek KXP yang dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) adalah berperanan sebagai enabler kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi komponen lain seperti Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing Hub, Business Park dan pembangunan Airport City.”

Justeru itu, baginda menyeru agar kerajaan persekutuan dapat menyokong dan memberi pertimbangan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP demi manfaat menyeluruh kepada negara dan Negeri Kedah khususnya.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen tidak menyertakan projek Aerotropolis Kedah yang turut merangkumi KXP.

Kerajaan persekutuan kemudiannya memaklumkan, cadangan projek itu belum dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan.

Kenyataan itu kemudiannya disangkal oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memaklumkan permohonan pembangunan Kedah Aerotropolis dikemukakan menerusi mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada Ogos dan November 2020.

Beliau berkata, permohonan rasmi juga dibuat kepada dua Perdana Menteri bagi dibawa ke dalam Mesyuarat Kabinet, selain turut diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bagi penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS).

Loading...
Terkini