comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek kabel bawah tanah Bayan Lepas siap ikut jadual – TNB

BAYAN LEPAS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mengambil tindakan segera bagi membaiki jambatan kabel yang runtuh di tapak projek kabel bawah tanah 275kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bayan Lepas ke PMU Intel di sini.

TNB dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada 26 September lalu dan tiada gangguan bekalan berlaku memandangkan ia adalah projek baharu yang belum dimulatugas.

“Kita ambil maklum berhubung insiden berkenaan dan kerja memperkukuh jambatan kabel sedang giat dijalankan termasuk penambahan cerucuk di bahagian tengah bagi meningkatkan kekuatan struktur.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca runtuhan dan merangka pelan mitigasi untuk mengelak kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut TNB turut memberi jaminan bahawa projek itu akan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pihak Intel dimaklumkan mengenai situasi ini dan TNB memberi jaminan bahawa insiden ini tidak menjejaskan projek lain di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, jambatan berkenaan runtuh akibat struktur binaan yang tidak dapat menampung berat kabel 275kV.

Katanya, kejadian berlaku di Cable Bridge nombor satu di kawasan syarikat Motorola, sebahagian daripada projek yang menghala ke syarikat Intel di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini