Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak akan melibatkan sebarang pembiayaan daripada kerajaan dan akan diterajui sepenuhnya oleh sektor swasta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata perkara itu diputuskan berdasarkan laporan awal yang diberikan oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) kepada kementerian itu.
“Projek HSR kini sedang dinilai oleh MyHSR dan mereka telah memberikan laporan awal kepada saya.
‘Bagaimanapun, kementerian masih belum menilai laporan itu.
“Namun, apa yang penting projek ini tidak akan membabitkan suntikan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya dibiayai swasta, dan keputusan kabinet akan menimbangkan implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin yang bertanyakan mengenai pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura).
Pada masa sama, Loke menambah, laporan itu juga akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kabinet untuk kelulusan sebaik sahaja ia dinilai oleh kementerian.
“Pihak kami akan menyemak laporan itu dan memilih cadangan terbaik yang boleh meminimumkan implikasi kewangan kepada kerajaan.”
Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura telah mengumumkan penamatan projek HSR selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.
Bagaimanapun, kerajaan mengumumkan pada 4 Ogos 2023 bahawa Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek HSR kepada Singapura selepas keputusan awal mengenainya dibuat oleh kerajaan.
Cadangan baharu itu kemudiannya akan disampaikan oleh Loke kepada Singapura untuk dipertimbangkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.