Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia menghidupkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sekiranya mendapat sokongan penuh daripada syarikat swasta.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara yang terhad, di mana keutamaan kini diberikan kepada projek-projek asas rakyat.
“Fokus kita adalah kepada mitigasi banjir, infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan awam dan usaha membasmi kemiskinan.
“Kita juga masih menantikan penglibatan syarikat swasta yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada penyambungan projek ini,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 di Perdana Putra.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MoT) ada menerima cadangan daripada beberapa syarikat swasta namun ianya masih belum dimuktamadkan lagi.
Beliau turut menjelaskan, sekiranya projek HSR ini dihidupkan semula, perbelanjaan kerajaan hanyalah secara minimal dan selebihnya ditanggung syarikat swasta yang bersetuju.
Terdahulu, media melaporkan, kabinet akan membuat keputusan sama ada untuk menghidupkan semula projek HSR menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura menjelang akhir Disember 2024 ini atau awal Januari 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun berkata, kertas dasar mengenai projek itu, yang bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit, tidak akan menentukan sama ada projek itu benar-benar akan dihidupkan semula.
Beliau berkata, kerajaan masih perlu memulakan semula perbincangan dengan Singapura kerana HSR adalah projek rentas sempadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.