Tumpuan :
Nasional

Projek ECRL capai lebih 76 peratus setakat November – MRL

Malaysia Rail Link

KUALA LUMPUR: Status kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai tahap 76.06 peratus setakat November, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Beliau berkata kemajuan itu berada pada landasan yang baik dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan pada Disember 2026 bagi jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dan seterusnya dari Gombak hingga ke Jalan Kastam pada Disember 2027.

“Sehubungan dengan itu, negeri Pahang khususnya telah mencatatkan status kemajuan yang signifikan dengan peratusan kemajuan kerja sebanyak 78.82 peratus setakat November 2024.

“ECRL adalah projek berimpak tinggi yang akan menghubungkan taman-taman perindustrian, pelabuhan-pelabuhan, bandar-bandar utama dan zon pelancongan serta menambah baik kesalinghubungan dengan rangkaian rel sedia ada di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara UCYP University dan MRL Sdn Bhd di sini hari ini.

Memorandum yang ditandatangani antara Darwis dan Naib Canselor UCYP University Prof Datuk Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain itu turut disaksikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MRL Sdn Bhd dan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Darwis berkata menjelang 2025, projek itu akan memasuki fasa persediaan untuk pengoperasian dan dianggarkan hampir 1,500 tenaga kerja tempatan diperlukan dalam syarikat pengendali ECRL merangkumi pelbagai bidang kepakaran termasuk teknikal, pengurusan dan operasi.

Sehubungan itu, beliau berkata pemeteraian MOU hari ini bertepatan dengan usaha membangunkan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk projek ECRL serta penubuhan Akademi Rel Pahang sebagai pusat latihan yang memfokuskan industri kereta api dan industri lain yang berkaitan.

“Sebagai permulaan, pembangunan modul latihan berkaitan sistem kereta api China akan dibantu dan dilaksanakan bersama kontraktor utama projek ECRL iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) dan institusi latihan di China iaitu Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC).

“LRVTC adalah sebuah institusi vokasional kereta api yang terkemuka dan berpengalaman di Liuzhou, China. Kolej ini menumpukan pada kejuruteraan, teknologi dan pengurusan kereta api dan mempunyai fasiliti dan kelengkapan latihan yang lengkap,” katanya.

Kerjasama itu katanya akan membawa implikasi positif terhadap pembangunan modal insan serta menghasilkan bakat tenaga kerja yang berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan projek seperti ECRL. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini