KUALA TERENGGANU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan 10 juta jam bekerja tanpa kemalangan (LTI).
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam satu kenyataan hari ini berkata pencapaian itu direkodkan pada hujung Februari lepas, berasaskan pelaksanaan bekerja secara selamat 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu serta kerjasama yang efektif di setiap peringkat projek.
Sehingga kini, projek ECRL dianggarkan mempunyai 17,000 tenaga kerja yang merangkumi kakitangan daripada pemilik projek, kontraktor dan sub-kontraktor.
Pengumuman itu dibuat sempena dengan perasmian Kempen Keselamatan dan Kesihatan ECRL 2023 di projek casting yard Seksyen 4 di Dungun, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pelancaran kempen itu bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang keselamatan, mengenal pasti potensi bahaya dan meningkatkan keyakinan pekerja.
Selain itu, katanya, kempen tersebut juga sejajar dengan pembinaan pesat dan peningkatan bilangan sehingga 350 tapak kerja utama sepanjang 665 kilometer jajaran ECRL pada masa ini.
Darwis berkata, projek ECRL telah melancarkan kempen keselamatan yang pertama pada Mac 2021 dan giat menjalankan penambahbaikan progresif terhadap sistem pengurusan keselamatan, antaranya latihan kepada lebih 1,000 kakitangan melalui simulasi dan latihan ketangkasan reaktif.
Menurutnya, latihan berkenaan dilaksanakan di Pusat Latihan Keselamatan di Kemaman, Maran dan Bentong yang telah diluluskan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Pusat tersebut dilengkapi teknologi realiti maya (VR) yang membolehkan simulasi dengan hampir 100 situasi berpotensi berbahaya di tapak pembinaan serta dapat menawarkan pengalaman seperti pemindahan dari terowong, kejutan elektrik, ujian asas topi keledar keselamatan dan penolakan penahan dinding.
Sementara itu Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) Kong Qi, yang merupakan kontraktor utama projek tersebut berkata, dengan adanya simulasi VR yang realistik, mereka kini dapat merasai situasi berbahaya tanpa berhadapan dengan kecederaan serta mendapat manfaat daripada pembelajaran yang menarik dan lebih interaktif.
“Pendekatan ini terbukti berkesan dengan pencapaian matlamat sifar LTI. Bagi pihak CCC-ECRL, kami ingin merakamkan penghargaan kepada MRL atas kepercayaan dan sokongan mereka.
“Kempen Keselamatan dan Kesihatan ECRL adalah komitmen berterusan kami dalam mengekalkan amalan tersebut untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan yang sama. – BERNAMA