KUALA LUMPUR: Tiada laporan berkaitan dakwaan wujudnya usaha sulit pihak-pihak tertentu untuk menukar agama individu tertentu di negara ini yang dikenali sebagai ‘Projek Cinta’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setakat ini tidak mendapat sebarang laporan mengenainya.
Jelas beliau kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang boleh mencetuskan fitnah, permusuhan dan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama di Malaysia.
Ini kerana, katanya dalam Islam, sebarang paksaan terhadap orang bukan Islam untuk memeluk Islam tidak dibenarkan sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk memeluk agama (Islam).”
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa kebebasan beragama adalah dijamin seperti termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.
“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam sebagai menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran).
Madius meminta Perdana Menteri menyatakan apakah benar pendedahan Miriam Mokthar baru-baru ini mengenai kewujudan satu usaha sulit menukar agama tertentu di Malaysia yang dijenamakan sebagai “Projek Cinta” dan jika benar, apakah pendirian Kerajaan Perpaduan mengenai usaha itu.
Mariam dalam satu video di YouTube mendakwa satu jabatan kerajaan menyasarkan pelajar sekolah, wanita muda, Orang Asli, ibu tunggal dan warga tua untuk menukar agama mereka kepada Islam.
Wanita itu mendakwa kes di mana keluarga Kristian menghantar anak mereka ke sekolah berasrama dan apabila pelajar itu pulang ke rumah mereka sudah memeluk agama Islam lengkap dengan MyKad.