Tumpuan :
Nasional

Program TVET boleh disesuaikan dengan keperluan industri perkhidmatan keselamatan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah pada Majlis Peluncuran Kerangka Pekerjaan N80: Aktiviti Keselamatan dan Penyiasatan, di ibu negara, hari ini.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berperanan penting dalam melahirkan pekerja berkemahiran tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Menerusi Kerangka Pekerjaan, program TVET dapat disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri perkhidmatan keselamatan yang semakin berkembang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata data semasa yang menunjukkan seramai 408,000 pelajar telah menyertai program TVET, mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap potensi besar bidang ini.

“Kita sedar hari ini kerajaan memberi fokus kepada TVET. Kita melahirkan banyak tenaga mahir dan tentu menjadi harapan kerajaan supaya syarikat perkhidmatan keselamatan ini mampu untuk menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan ini yang saya percaya telah dilatih dan diberi latihan kemahiran begitu baik,” katanya selepas peluncuran Kerangka Pekerjaan N80: Aktiviti Keselamatan dan Penyiasatan, hari ini.

Ujarnya, beliau mengharapkan kerjasama yang baik dengan sektor swasta dalam merealisasikan dan seterusnya mematuhi Kerangka Pekerjaan yang menjadi garis panduan.

Kerangka Pekerjaan N80 bukan sahaja menyediakan struktur yang jelas bagi industri keselamatan, tetapi juga memperkenalkan 16 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) sedia ada yang menjadi rujukan penting untuk pensijilan kemahiran pekerja.

Ia merangkumi pelbagai peringkat pekerjaan dalam sektor keselamatan, dari pengawal keselamatan hingga pengurus keselamatan, yang memastikan adanya keseragaman dan kualiti tinggi dalam latihan dan pensijilan.

Loading...
Terkini