Tumpuan :
Nasional

Program Titipan Kasih ‘Back To School’ ringan beban pelajar asnaf

Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman (kanan) bersama Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz (kiri) membantu pasangan kembar Mohamad Safi Aziz Safzirul, 11, (tiga dari kanan) dan adiknya Mohamad Safi Azim, 11, (dua dari kiri) mencuba pakaian sekolah sempena Program Titipan Kasih ‘Back To School’ bersama PTPTN dan Harian Metro di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Khamis lalu.

GEORGE TOWN: Seramai 200 murid Sekolah Rendah (SK) Bukit Gelugor dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad di sini, terpilih menerima sumbangan kelengkapan set pakaian serta beg Khamis lalu, sempena sesi baharu persekolahan yang bermula hari ini.

Sumbangan berkenaan disalurkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Harian Metro menerusi Program Titipan Kasih ‘Back To School’.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bagi meringankan beban golongan keluarga yang kurang berkemampuan.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad, Mazidah Hashim berkata, pihak sekolah berbesar hati dengan penganjuran program berkenaan yang memberi manfaat kepada pelajar.

“Program ini memberi impak besar terutama kepada ibu bapa berpendapatan rendah termasuk mempunyai bilangan anak yang ramai.

“Sudah tentu ketika sesi baharu persekolahan, pelajar berkenaan sudah lengkap bersedia bagi menuntut ilmu,” katanya yang ditemui selepas sesi pengambilan ukuran baju di sekolah berkenaan Khamis lalu.

Manakala Guru Besar SK Gelugor, Fazlee Yahya berkata, pelajar yang terpilih adalah dalam kalangan latar belakang keluarga asnaf.

“Kebanyakan ibu bapa pelajar di sekolah ini terdiri daripada yang berpendapatan rendah sederhana.

“Terima kasih tidak terhingga dan diharap program ini diteruskan pada masa akan datang bagi bantu pelajar lain pula,” katanya.

Pelbagai ragam dan gelagat lucu dapat dilihat ketika sesi pengambilan ukuran pakaian dan kasut.

Normahiza Hazirah Hanafi, 34, ditemui ketika menemani anaknya, Nuraisya Maisara Azizi, 15, mencuba kasut sekolah.

“Harga barangan ini kian meningkat di pasaran, jadi sumbangan berkenaan amat bermakna kepada ibu bapa yang ada ramai anak bersekolah,” katanya.

Sementara penghantar kurier, P Lavanya, 30, turut gembira apabila anak sulungnya, Kishawn Goushik yang berusia lapan tahun menerima manfaat berkenaan.

“Dapatlah saya belanjakan wang yang sepatutnya digunakan bagi membeli kelengkapan sekolah Kishawn kepada adiknya yang akan memasuki tadika,” katanya yang berpendapatan RM1,500 sebulan.

Manakala Rohailiza Omar, 42, pula berkata, seramai empat daripada 10 anaknya iaitu Muhammad Safril Amil Safzirul, 14, Muhammad Safril Haizal Safzirul, 13, termasuk pasangan kembar Muhammad Safi Aziz dan Muhammad Safi Azim, 11, menerima sumbangan berkenaan.

“Setiap kali sesi baharu persekolahan, saya memperuntukkan lebih RM700 hanya untuk pembayaran yuran anak.

“Biasanya bagi pakaian sekolah, saya akan beli sepasang atau pakai dahulu yang lama,” katanya yang bekerja sebagai operator kilang.

Program Titipan Kasih Harian Metro mula dilaksana pada 2007 bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Pada tahun lalu, program berkenaan bersama PTPTN menyantuni seramai 200 murid di sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Itam dan SK Sri Aman, di sini, dengan pemberian sumbangan set pakaian dan beg sekolah berjumlah RM35,000.

Manakala Media Prima Berhad turut memberi sumbangan dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime berjumlah RM20,000 yang mana setiap murid menerima RM100 seorang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini