comscore
Tumpuan :
Nasional

Program syarahan ulung bersama Menteri KDN beri peluang pelajar timba ilmu kepemimpinan

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) menandatangani buku pelawat ketika hadir dalam program syarahan ulung di UiTM Seremban 3, semalam. NSTP/Foto ihsan UiTM Seremban.

SEREMBAN: Program syarahan ulung bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi peluang kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, menimba ilmu berkaitan kepemimpinan.

Program yang berlangsung di Dewan UiTM berkenaan semalam, dihadiri kira-kira 500 pelajar.

Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yasin, berkata syarahan ulung itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan dengan ilmu kepemimpinan serta melahirkan pemimpin yang mempunyai jati diri yang tinggi.

“YB menteri telah menyampaikan syarahan ulung dengan kupasan tajuk “Dinamika Politik Kontemporari: Cabaran terhadap Kestabilan, Keselamatan Negara dan Ketenteraman Awam”.

“Beliau telah memfokuskan lima isu iaitu perilaku dan etika, kemunduran teknologi, kecekapan bekerja, kepemimpinan organisasi serta fikrah, ideologi dan identiti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Yamin berkata, pelajar UiTM dapat memahami lebih dekat berkaitan dasar keselamatan negara di mana terdapat dua kementerian yang menjadi peneraju utama iaitu Kementerian Pertahanan yang menjaga keamanan awam dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Program ini nyata memberi manfaat kepada pelajar, terutama dalam memahami isu-isu keselamatan negara, politik dan ketenteraman awam,” katanya.

Program julung kali diadakan itu turut dimeriahkan dengan pameran jabatan dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan jabatan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini