Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Setiap pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan melalui program rehabilitasi selama 90 hari merangkumi modul komprehensif yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama beberapa agensi kerajaan.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, modul itu merangkumi aspek pemulihan akidah dan syariah serta pendidikan.
“Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan JAKIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri telah memulakan projek rintis pada 7 November 2024 di rumah pemulihan MAIS dengan mengguna pakai modul Istitabah MAIS.
“Penilaian akan dilaksanakan pada setiap 30 hari selepas sesi pemulihan dilaksanakan. Berasaskan projek rintis ini, JAKIM dengan kerjasama MKN dan pelbagai agensi akan menjalankan program pemulihan dengan modul yang komprehensif. Modul yang digunakan diselaraskan bersama MAIS, JKM, KPM, KDN, LPPKN, JTK dan AKM.
“Modul tersebut meliputi aspek pemulihan akidah dan syariah, pendidikan, kaunseling, kesihatan, kenegaraan dan juga latihan kemahiran untuk persediaan kelangsungan hidup selepas kembali ke pangkuan masyarakat,” jelasnya.
Tambahnya, satu pasukan khas juga telah dibentuk Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi mengatur program pemulihan di peringkat negeri masing-masing.
“Negeri Johor antara yang terawal telah melaksanakan program pemulihan kepada ahli GISBH di Johor Bahru, Pontian dan Mersing. Di samping itu, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan PDRM turut akan mengadakan program pemulihan akidah secara khusus kepada mereka yang sedang ditahan.
“Bagi membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak yang ditinggalkan oleh GISBH, JAKIM bersama agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pihak berkuasa agama negeri-negeri akan memastikan nasib mereka terbela dan dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“JAKIM dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah menyelaras dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) bagi memberikan bantuan kewangan kepada mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mengenai tindakan diambil kerajaan memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 14 November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.
Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.