comscore
Tumpuan :
Nasional

Program Rakan Muda perlu sinergi majikan, pengurusan IPT

 

 

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR : Kerjasama semua pihak termasuk majikan dan pengurusan Institut Pengajian Tinggi (IPT) amat diperlukan dalam usaha memastikan jenama Rakan Muda yang diberikan nafas baharu mencapai matlamatnya melahirkan generasi dengan cita-cita murni dan nilai kemanusiaan tinggi.

Presiden Briged Negaraku Kebangsaan Khairul Nizam Mohd Sopery berkata ini penting kerana penglibatan dalam aktiviti Rakan Muda bukan hanya tertumpu kepada pelajar dan penuntut IPT semata-mata tetapi turut melibatkan belia yang bekerja.

“Rakan Muda sememangnya sudah sinonim dengan anak muda sejak dahulu lagi dengan menyasarkan belia berusia 15 hingga 30 tahun, justeru kita mahu penglibatan kali ini perlulah mencakupi setiap peringkat umur golongan sasar bagi membolehkan program yang direncana dapat memberi impak lebih menyeluruh.

“Jadi untuk memperkasakan Rakan Muda kali ini, kita perlu kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pihak majikan serta pengurusan IPT yang boleh memberikan kelonggaran sekiranya ada dalam kalangan penuntut atau pekerja mereka ingin menyertai program Rakan Muda,” katanya.

Beliau berkata kekangan di peringkat majikan dan pengurusan IPT hanya akan ‘merencatkan’ perjalanan program Rakan Muda.

Menyentuh mengenai matlamat Rakan Muda yang diberikan nafas baharu yang turut meliputi elemen rasuah dan hipokrasi, Khairul Nizam berkata ia usaha yang baik untuk menyuburkan prinsip ‘tolak rasuah’ dalam diri.

Ujar beliau, kerajaan perlu memberikan suntikan dana dalam merancakkan program Rakan Muda yang baharu ini tanpa melibatkan sebarang kerenah birokrasi yang sukar sehingga menyebabkan mereka hilang minat untuk melaksanakan program.

Turut senada, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata dalam memastikan konsep ‘work, life balance’ itu dapat dinikmati dalam kalangan pekerja, majikan seharusnya memberikan pelepasan kepada pekerja mereka untuk mengikuti program Rakan Muda.

”Mungkin dalam sebulan ada satu hari pelepasan kepada pekerja untuk ikuti program Rakan Muda,” katanya.

Mohd Izzat berkata 10 gaya hidup yang diperkenalkan dalam Rakan Muda bukan sahaja untuk menggalakkan gaya hidup aktif namun turut menyuntik elemen baharu berkaitan isu semasa melalui pengenalan Rakan Demokrasi.

“Apa yang diperkenalkan sesuai dengan keadaan dan cita rasa belia sekarang selain menggalakkan gaya hidup sihat, isu semasa berkaitan demokrasi turut diketengahkan yang bertujuan memberi pendedahan tentang demokrasi kerana kita tahu kefahaman tentang demokrasi dan politik dalam kalangan belia masih lemah’,’ katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Belia Prihatin Afif Firdaus berkata matlamat Rakan Muda yang antara lainnya untuk menyediakan generasi belia yang arif berhubung teknologi terbaharu merupakan satu pendekatan proaktif yang diambil kerajaan melihat kepada keperluannya pada masa ini.

“Hari ini ramai orang sebut tentang teknologi kecerdasan buatan atau AI dan sebagainya, ini antara teknologi baharu yang harus dikuasai generasi muda hari ini untuk menyediakan mereka menjadi modal insan yang berkualiti”, katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program Rakan Muda yang diberikan nafas baharu menerusi 10 gaya hidup iaitu Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.- BERNAMA

Loading...
Terkini