KUALA LUMPUR : Seramai 33,903 individu sudah menerima manfaat dalam Program Pembangunan Masyarakat anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) sepanjang tahun lalu, membabitkan peruntukan sebanyak RM2.6 juta dalam 72 program di bawah inisiatif itu.
YBR dalam kenyataan memaklumkan, bagi memfokuskan pendidikan lebih inklusif kepada golongan memerlukan pula, YBR dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) turut mengadakan Program Autism Hub for Educational Resources & Training (A-Heart), hari ini.
“YBR berharap penganjuran program seperti ini memberi satu impak besar kepada usaha membantu masyarakat istimewa dan memberi kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat serta sedaya upaya mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada yang memerlukan,” katanya.
Di bawah program A-Heart itu, katanya anak-anak autisme dalam kalangan keluarga B40 komuniti Perlis terpilih untuk menyertai program yang akan diadakan sepanjang tahun ini.
Katanya, program itu bertujuan menyediakan sesi terapi deria dan cara kerja kepada kanak-kanak dan remaja autism yang mana 48 sesi terapi setahun sudah dirancang.
“Program ini turut menawarkan sesi diagnosis keperluan terapi anak autism bagi memastikan pendekatan terapi yang efektif serta menyediakan sokongan kemudahan pengangkutan dalam kalangan mereka yang menghadapi kekangan menghantar anak mereka mengikuti sesi terapi,” katanya.
Dalam penganjurannya hari ini, Raja Muda Perlis selaku Canselor Universiti Malaysia Perlus (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin berkenan hadir ke Dewan Ilmu di UniMAP.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UniMAP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata galakan dan dorongan diberikan kepada golongan anak-anak autism, sedikit sebanyak dapat memberi fokus dalam mengembangkan potensi kanak-kanak istimewa ini.
Selain itu, katanya inisiatif YBR ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak- anak istimewa ini mendapat peluang pemulihan dan pendidikan mengikut tahap keupayaan dan keperluan masing-masing.
“Kerjasama ini adalah langkah positif bagi memastikan anak-anak autism mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Golongan istimewa ini berbeza dengan mereka yang normal tetapi tetap mempunyai kelebihan akal fikiran dan kemahiran.
“Diharapkan sokongan berterusan dari semua pihak terutamanya daripada ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta mampu mempunyai masa hadapan yang cerah sama seperti mereka yang lain untuk hidup lebih sempurna,” katanya.