JOHOR BAHRU: Pelan dirangka dalam program pemulihan akidah ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengambil kira semua aspek, termasuk jika ada ahli tegar gagal dipulihkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata program pemulihan akidah itu dilaksanakan mengikut perancangan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, ia berterusan dan akan dilaksanakan secara sistematik serta teliti oleh semua pihak berkaitan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ambil peranan itu dengan semua Jabatan Agama Islam negeri.
“Pelan pemulihan akidah ini sudah pasti ambil kira semua aspek, kita akan laksanakan dan akan tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyempurnakan Dialog Perpaduan Malaysia MADANI 2024, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai tindakan susulan kerajaan sekiranya ada ahli tegar GISBH gagal dipulihkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan ajaran difatwakan sesat itu dihidupkan kembali.
Mengenai jumlah bekas ahli GISBH yang hadir secara sukarela ke program pemulihan akidah dan sudah pulih, beliau berkata, ia perlu dirujuk kepada pihak berkaitan.
“Apa yang dimaklumkan dalam Parlimen dan dijawab oleh menteri, itulah yang terkini yang dikongsikan mengenai isu GISBH. Perlu rujuk pihak autoriti, perlu disemak dan teliti,” katanya mengenai jumlah bekas ahli GISBH pulih.
Pada 13 November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.