Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan, penambahbaikan program itu antara lain untuk menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Menurut PETRA, langkah itu juga selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon.
“Untuk menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV di bumbung premis bangunan, PETRA telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program NEM.
“Penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar PV,” menurut kenyataan itu.
Penambahbaikan lain termasuk pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia serta beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan terbaharu.
Menurut PETRA, berikutan itu, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150 megawatt (MW) kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW.
Ia bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pengguna kategori pertanian.
“Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.
Penambahbaikan bagi pelaksanaan Program NEM dan pelanjutan skim SolaRIS akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.
Maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM pula boleh didapati di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia di www.seda.gov.my.
Sementara itu, perincian mengenai program SolaRIS boleh didapati di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di www.tnb.com.my.
“PETRA sentiasa komited untuk memastikan supaya pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Ia juga menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” menurut kenyataan itu.