comscore
Tumpuan :
Nasional

Program MyLesen B2 diperluaskan ke institusi pendidikan tahun depan

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli (dua kiri) menyampaikan Lesen B2 dan Topi Keledar pada Majlis Perasmian Program MyLesen B2 Peringkat JPJ Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin. Foto NSTP

KUALA TERENGGANU: Program MyLesen B2 akan diperluaskan di institusi pendidikan tahun depan dalam usaha membantu golongan pelajar dan belia yang kurang berkemampuan mendapatkan lesen.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, setakat ini, program berkenaan memberi fokus membantu golongan B40 membabitkan pelbagai kategori yang berada di bawah senarai eKasih dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkaitan terutama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam merealisasikan program itu.

“Baru-baru saya ada membuat perbincangan bersama Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan bersama Ketua Pengarah MARA, Ketua Pengarah Pelajaran.

“Kita akan cuba pendekatan baru yang mana program MyLesen ini akan dikembangkan di peringkat institut pengajian tinggi, kolej awam dan sekolah untuk pelajar yang kurang berkemampuan.

“Ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya program MyLesen ini difokuskan kepada golongan pelajar terutama berusia 16 tahun ke atas dan belia yang berada di institut pengajian awam yang tidak mampu, kurang berkemampuan dan masih tidak mempunyai lesen motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata, pihaknya akan memperincikan jumlah kuota yang akan diberikan kepada pelajar atau penuntut yang layak berdasarkan peruntukan yang diterima.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada penuntut institut pengajian yang tidak mempunyai lesen dan kurang berkemampuan selain meneruskan program MyLesen sedia ada.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini