KUALA LUMPUR: Program Keretapi Sarong perlu diperluaskan ke seluruh negara agar semua masyarakat dapat bersama-sama meraikan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia, pada masa akan datang.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia Zakaria Mohd Nani berkata, program yang mempromosikan sarung busana asli itu sewajarnya memanfaatkan jajaran pengangkutan awam sedia ada di negara ini.
“Adalah lebih baik sekiranya program ini boleh dibawa ke luar dari ibu kota. Jadi, orang ramai tidak perlu melakukan perjalanan yang jauh untuk ke Kuala Lumpur bagi menyertainya.
“Contohnya, jajaran KTMB terdapat di seluruh negara. Jadi, dengan kerjasama yang ada, setiap stesen KTMB mungkin boleh sama-sama meraikan program ini,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Sebagai pembaharuan, tahun ini, program itu buat pertama kalinya juga berlangsung serentak di Ipoh, Perak yang diadakan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ipoh dengan kerjasama Kelab Sosial Ipoh.
Zakaria berkata, program Keretapi Sarong diadakan bertujuan memperingati kelahiran Malaysia dengan meraikan busana, warisan, bandar raya dan negara dengan semangat patriotisme yang ditonjolkan.
“Secara tidak langsung, kita dapat lihat solidariti rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Malaysia. Kita mahu mereka rasa bangga dengan negara sendiri,” katanya.
Sementara itu, lebih 5,000 peserta berbilang bangsa dan usia menyertai program Keretapi Sarong 2022 yang bertujuan menyemai semangat cintakan negara selari dengan sambutan Hari Malaysia 2022 di Pavilion, Bukit Bintang, hari ini.
Kali ini, program itu dimulakan serentak dari tujuh stesen yang terlibat iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Subang Jaya, LRT Ampang, LRT Gombak, Transit Aliran Massa (MRT) Bandar Utama, MRT Kajang, stesen KLIA Transit di KLIA dan Putrajaya serta stesen KTMB KL Sentral sebelum berkumpul di depan pusat beli-belah Pavillion, Bukit Bintang.
Memeriahkan lagi suasana, pelbagai nyanyian lagu patriotik dan tradisional turut dimainkan antaranya ‘Negaraku’, ‘Jalur Gemilang’, ‘Rasa Sayang’, ‘Dikir Puteri’, Enjit Enjit Semut’, ‘Lemak Manis’ dan ‘Anak Tupai’.
Bagaikan mengimbau kenangan lama, Keretapi Sarong 2022 yang membawakan tema ‘Retro Kuala Lumpur’ turut dimeriahkan dengan persembahan busana sarung, persembahan ‘flash mob’, tarian joget lambak serta alunan runut awal 60-70an.
Peserta Keretapi Sarong 2022, Mohd Faeez Harith, 32, dari Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu menyifatkan program tahun ini lebih meriah selepas tergendala selama dua tahun akibat penularan Covid-19.
“Ini kali kedua saya sertai program ini selepas 2019. Dalam program ini, semua adalah sama tanpa mengira bangsa sekali gus menanamkan semangat patriotik dalam diri,” katanya.
Bagi pekerja swasta Rabiatul Adawiyah Abdul Rashid, 26, menyifatkan program tersebut sebagai simbolik perpaduan di antara kaum di dalam negara ini.
“Saya akui sangat teruja dengan program sebegini, bukan sahaja mereka berkumpul, berarak dan menyanyi bersama-tetapi ini juga peluang untuk ketengahkan semula pemakaian busana tradisi,” katanya.
Program Keretapi Sarong kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) LOCCO dimulakan sekitar 2014 membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelekat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pada tahun ini, selain Tourism Malaysia, program itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pengangkutan dan agensi di bawah kementerian itu iaitu KTMB, Prasarana Berhad, MRT Corporation, ERL dan Malaysia Airports Holdings Berhad.-BERNAMA