Tumpuan :
Nasional

Program intervensi 3M: NUTP sambut baik, beri ruang kepada guru

Foto hiasan

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan program intervensi terhadap murid tahun 1 yang masih belum menguasai literasi dan numerasi.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pelaksanaan itu penting sebagai langkah persediaan bagi golongan itu untuk melangkah masuk ke peringkat sekolah menengah.

“Dalam memastikan murid-murid ini dapat menguasai kemahiran-kemahiran selanjutnya di peringkat sekolah menengah, sudah pastilah literasi dan numerasi ini perlu dikuasai.

“Tanpa penguasaan ini amat sukar bagi murid-murid untuk berdepan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di mana asas kemahiran yang akan diajar itu perlukan penguasaan terhadap literasi dan numerasi,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.

Dalam pada itu, NUTP juga memohon agar golongan pendidik diberikan ruang dalam penglibatan mereka menerusi program berkenaan.

Ujarnya, semua pihak perlu memainkan peranan dan memberi kerjasama bagi mencapai objektif yang bakal dilaksanakan KPM itu.

“Kita harapkan agar guru-guru yang terlibat tidak diganggu dan diberikan tekanan. Berilah mereka (guru) ruang untuk melaksanakan program berasaskan kepada kesediaan dan kemudahan yang ada di sesebuah sekolah,” katanya lagi.

Terdahulu, KPM menyatakan, seramai lebih 100,000 murid Tahun 1 sesi persekolahan 2024/2025 dikenal pasti perlu mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata angka itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini