Tumpuan :
Nasional

Program Gema Syukur 2025 serlah semangat baharu, rasa syukur

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Program Gema Syukur 2025 akan dianjurkan selama dua hari bermula esok dalam usaha menyerlahkan semangat baharu dan rasa syukur dalam menyambut tahun baharu dengan penuh makna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program bermula dari jam 6 petang (31 Disember) hingga 9 pagi (1 Januari) di Masjid Putra, Putrajaya.

Menurutnya, empat objektif program berkenaan iaitu menzahirkan tanda kesyukuran atas segala nikmat yang diperolehi sepanjang tahun serta memupuk kebersamaan dan mengeratkan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat.

Objektif lain termasuk membangkitkan semangat motivasi dan tekad mencapai kejayaan dengan azam tahun baharu selain bermunajat serta berdoa semoga negara ini dijauhi dari segala musibah, bala bencana dan wabak penyakit.

“Penganjuran program sebegini adalah penzahiran iltizam agensi-agensi di bawah Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus memacu ummah dalam menyemarakkan syiar Islam di bumi Malaysia.

“Penganjuran program ini menjadi alternatif bagi masyarakat untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai pengisian program yang bermanfaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai pengisian program Gema Syukur 2025 pada sesi malam tahun baharu antaranya majlis bacaan Yasin dan doa, Gema Cinta Rasul bersama kumpulan nasyid, Tadabbur Quran: ‘International Quran Moment’ dan sesi podcast ‘Jerat Nafsu’ bersama ahli panel jemputan khas seperti Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed.

Program pada sesi awal tahun baharu pula meliputi qiamullail yang akan dipimpin oleh Syeikh Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki dan forum ‘Demi Masa’ bersama Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, lebih 1,000 mahasiswa dari pelbagai universiti awam dan swasta dijangka hadir dengan forum istimewa bertemakan ‘Fostering Unity and Da’wah Across Border’ turut dianjurkan khas kepada golongan itu dari luar negara.

“Demi membangkitkan semangat dan tekad untuk mencapai kejayaan, program ini tidak melupakan mereka yang memerlukan.

“Sebanyak 100 asnaf akan disantuni dengan penuh kasih dan akan menerima sumbangan wang tunai RM200 (daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), bakul makanan dan kit kebersihan sebagai tanda harapan serta sokongan untuk mereka terus melangkah ke tahun yang baharu,” katanya.

Selain itu, lebih 15 pilihan menu sarapan percuma akan disediakan dan pengunjung yang bertuah juga berpeluang menerima hadiah istimewa termasuk syiling emas.

“Datanglah lebih awal untuk berqiamullail dan mendaftarkan diri bagi menjadi antara insan yang bertuah.

“Rakyat Malaysia khususnya yang berada di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sekitarnya adalah dijemput beramai-ramai untuk hadir ke Masjid Putra,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini