Tumpuan :
Nasional

Program Anak Kita : 83,752 pelajar terima manfaat 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

BATANG KALI: Seramai 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah disasarkan dalam Program Anak Kita bertujuan mengatasi isu keciciran pembelajaran di kalangan pelajar sekolah.

Program itu juga melibatkan peneraju Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) dengan itu kerjasama Yayasan Hasanah bersama tiga universiti awam dan tujuh organisasi masyarakat sivil.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia membabitkan aktiviti intervensi pembelajaran seperti kursus pedagogi untuk para guru, latihan kemahiran pengurusan pentadbiran dan kepimpinan untuk pentadbir sekolah serta penggunaan peranti teknologi sebagai alat bantuan pelajaran.

“Ini adalah ikhtiar yang sangat penting dalam menangani keciciran jadi dalam semua aspek pendidikan ini kita telah meletakkan satu ‘benchmark’ yang sangat penting iaitu tiada anak-anak yang akan tertinggal.

“Perkembangan pendidikan itu harus selari dan anak-anak tidak boleh ada yang terpinggir jadi kalau wujud kesenggangan dalam pendidikan ini hanya kerana sekumpulan anak-anak tercicir, jadi pendidikan kita itu akan jadi pendidikan yang tidak memaknai dan tidak menterjemahkan keseluruhan falsafah pendidikan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Anak Kita : Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Rasa di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Pelaksanaan program akan memberi fokus kepada tiga permasalahan termasuk penguasaan kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) yang melibatkan tujuh sekolah di negeri Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak;

Kedua, pelajar dari sistem persekolahan yang terkesan dengan kemiskinan meliputi enam negeri Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak.

Ketiga, meningkatkan peratusan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak mendapat sijil SPM melibatkan 13 Negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Mengulas mengenai faktor penyumbang keciciran, beliau berkata isu kemiskinan menjadi masalah utama.

“Ada banyak faktor penyumbang kepada isu keciciran ini, namun naratif besarnya masih lagi kemiskinan, faktor-faktor lain antaranya tidak minat bersekolah, bekerja dan isu sosial yang memberikan kesan langsung kepada sosioekonomi anak-anak ini.

“Mereka ini sama ada tercicir atau ketinggalan dalam pembelajaran tetapi ada potensi untuk dipertingkatkan jadi kita tidak lihat ia semata-mata dalam satu aspek sahaja, tapi dilihat bagaimana potensi itu dilonjakkan dan dalam kategori itu kita mengambil ketetapan bahawa mereka ini perlu diberikan sedikit tumpuan,”

Dalam pada itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata pendidikan dan ekonomi mempunyai hubung kait yang rapat dan pendidikan yang berkualiti adalah asas kepada kemakmuran negara.

“Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara kerana pendidikan yang berkualiti meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kita dan seterusnya peluang pekerjaan yang lebih luas dengan peluang pendapatan yang lebih baik.

“Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan generasi yang berdaya saing dan inovatif, yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya

Program yang telah bermula ini diiltizamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Belanjawan 2024 dengan peruntukan RM100 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini