Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Program 5 Minit Antirokok/Vape bantu kekang ketagihan vape dalam kalangan murid

Oleh Nini Shahira

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Program Lima Minit Antirokok/Vape dalam usaha membanteras penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.

KPM berkata, program itu dijalankan dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen anti merokok/vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah.

KPM bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan berusaha mengekang ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah yang semakin berleluasa.

Foto hiasan

“KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan program IMFree kepada murid sekolah rendah tahun satu hingga tahun enam di 636 buah sekolah rintis serta diperluaskan pada tahun 2023 dan seterusnya.”

“Program IMFree merupakan program pendidikan dan pencegahan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah. Program ini bertujuan agar murid yang lahir pada tahun 2009 dan ke atas kekal tidak merokok sepanjang hayat.”

“KPM mengambil serius terhadap beberapa laporan media mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah. ”

“Pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam usaha menangani isu ini, Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memantau anak-anak supaya tidak ketagih rokok elektronik atau vape berikutan ianya mudah didapati secara dalam talian.

Loading...
Terkini