comscore
Tumpuan :
Nasional

Program 2TM lepasi sasaran, 343,294 pengunjung direkodkan sepanjang tiga hari

Suasana pengunjung pada hari terakhir program 2 Tahun Kerajaan Malaysia Madani dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO NSTP

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 343,294 pengunjung direkodkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang melabuhkan tirai hari ini.

Jumlah itu sekali gus melebihi sasaran 230,000 orang bagi program tiga hari bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’ itu yang bermula Jumaat lepas.

Menurut sekretariat penganjuran, seramai 140,165 hadir hari ini manakala 85,217 pengunjung direkodkan pada Jumaat dan 117,912 pada Sabtu.

Antara pengisian program ialah perkongsian pencapaian dan inisiatif kerajaan MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi townhall semalam.

Turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 semalam dan hari ini yang bertujuan menambah baik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan dan integriti perkhidmatan awam.

Sepanjang program, kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) muncul sebagai kaunter paling popular apabila menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan diskaun saman trafik dan menukar topi keledar secara percuma.

Turut dipenuhi pengunjung reruai Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran selain pameran agensi kerajaan dan swasta yang lain. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini