Tumpuan :
Nasional

Professor ditahan SPRM salah guna kedudukan ambil RM30,000

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan seorang Timbalan Pengarah di sebuah universiti awam tempatan kerana dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu yang juga merupakan Profesor bergred Jusa C telah ditahan kira-kira jam 3.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Jelas sumber tersebut, dalam kejadian yang berlaku pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan telah membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ujar beliau, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Loading...
Terkini