comscore
Tumpuan :
Nasional

Prof Dr Azlinda KP Pendidikan Tinggi baharu

FOTO: Kementerian Pendidikan Tinggi/Facebook

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Azlinda Azman dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi baharu berkuat kuasa hari ini sehingga 30 Mei 2025.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataannya memaklumkan, pelantikan Prof Dr Azlinda bagi menggantikan Prof Datuk Dr Husaini Omar yang bersara wajib pada 10 Mac lalu.

“Selain memiliki pengalaman kerja dan pentadbiran yang luas, Prof Dr Azlinda juga merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang disegani terutama dalam bidang kerja sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Kebangsaan Pendidikan Kerja Sosial Malaysia dan juga merupakan Konvenor Kumpulan Tindakan dan Penyelidikan AIDS (AARG), USM sejak 2011,” menurut kenyataan itu.

Prof Dr Azlinda, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kerja Sosial) dari USM sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang sama.

Beliau antara segelintir individu yang terpilih dan dianugerahkan Biasiswa Fulbright untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam Kerja Sosial Klinikal di New York University (NYU), Amerika Syarikat.

Pada 2021, beliau telah dianugerahkan Ikon Akademik Kerja Sosial oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan yang cemerlang, kementerian yakin bahawa pelantikan Prof Dr Azlinda berupaya melonjak prestasi Jabatan Pendidikan Tinggi ke tahap yang lebih tinggi dan turut memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berpaksikan kecemerlangan.

“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Dr Husaini atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui Jabatan Pendidikan Tinggi sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Loading...
Terkini