comscore
Tumpuan :
Nasional

Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor baharu USM

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed dilantik sebagai Naib Canselor USM baharu berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, selain memiliki pengalaman pentadbiran yang sangat luas, Prof Datuk Dr Abdul Rahman adalah seorang penyelidik yang disegani terutama dalam bidang Sains Gunaan dan Teknologi di dalam mahupun di luar negara.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Southern California, California, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sains dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang sama di University of New Hampshire, New Hampshire, Amerika Syarikat.

“Prof Datuk Dr Abdul Rahman sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei 2016 hingga 30 April 2018, kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei 2018 sehingga kini,” demikian menurut KPT.

Tambah kenyataan itu, sebagai satu-satunya universiti awam di negara ini yang telah dipilih untuk Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX), KPT yakin dengan pelantikan Prof Datuk Dr Abdul Rahman sebagai Naib Canselor USM yang baharu dapat memperkukuhkan lagi sektor pendidikan tinggi negara.

Ia seterusnya membina masa depan negara yang lebih mampan dan sejahtera berpaksikan kecemerlangan.

“Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan atas jasa bakti beliau menerajui USM sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Loading...
Terkini