Tumpuan :
Nasional

Produk kosmetik seludup dari Thailand ditinggalkan di pangkalan haram

PGA merampas beberapa kotak yang mengandungi produk kosmetik di Tumpat dan merampas 570kg beras di Bachok. – Foto ihsan PGA

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas beberapa kotak mengandungi produk kosmetik dipercayai diseludup dari Thailand yang ditinggalkan di pangkalan haram Dot di Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Rampasan jam 11.15 pagi itu dilakukan Batalion 8 PGA selepas melihat kotak mencurigakan di lokasi terbabit.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kotak itu mengandungi pelbagai produk kosmetik disyaki diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.

Katanya, produk kosmetik ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan dan anggaran nilai keseluruhan rampasan bernilai RM92,600.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan Peraturan Dadah Dan Kosmetik 1984. Hasil rampasan dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

“PGA terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara,” katanya ketika dihubungi BH.

Sementara itu, dalam operasi berlainan, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut merampas 570 kilogram (kg) beras yang diseludup dari Thailand di sebuah premis di bandar Bachok.

Katanya, rampasan pada 11 pagi itu dilakukan Batalion 7 PGA, selepas pihaknya menahan sebuah lori.

“Kita turut menahan lelaki tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beras terbabit ke pasaran tempatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bachok untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini