KUALA LUMPUR: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) mengesahkan telah menyemak semula harga bagi produk-produk terpilih berkuat kuasa 1 Oktober 2023.
Pengeluar roti terkemuka itu dalam satu kenyataan ringkas kepada BH berkata harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast’em walau bagaimanapun kekal untuk memastikan kenaikan ini tidak membebankan majoriti pelanggan.
“Betul. Kenaikan untuk produk-produk terpilih sahaja. Harga untuk roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast’em kekal,” kata seorang jurucakap Gardenia KL bagi menjelaskan mengenai senarai harga baharu roti keluarannya yang tular di laman sosial, hari ini.
Antara produk yang disemak semula harga bermula awal bulan depan ialah Gardenia Numee, Gardenia Fluffy Buns, Gardenia Puazz!, Gardenia QuickBites, Gardenia Double Choc Muffins, Gardenia Twiggies dan Gardenia Squiggles.
Gardenia KL bagaimanapun tidak memberikan sebab semakan harga itu dibuat kali ini.
Pada September tahun lalu, Gardenia KL menaikkan harga runcit produknya berikutan kenaikan kos bahan seperti tepung protein tinggi, serbuk putih telur, tepung gandum penuh, gluten, susu skim, penaik roti serta bahan-bahan pembungkusan.
Ia ditambah dengan cabaran lain yang dihadapi syarikat itu termasuk kesan pasca pandemik COVID-19 terhadap perniagaan dan kejadian banjir besar di Shah Alam pada Disember 2021.