GEORGETOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, seharusnya dilangsungkan serentak bagi menjimatkan kos dan tenaga pihak yang terbabit.
Pengerusinya yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri bagaimanapun tiada pilihan jika PRN nanti dijadual berlangsung berasingan.
“Seelok-eloknya, semua enam negeri boleh adakan pilihan raya negeri serentak. Jika tidak, ia akan melibatkan lebih banyak kos, tapi kalau dibuat berasingan, kita tiada pilihan.
“Cuma petugas media (misalnya) pihak yang terlibat (kos dan tenaga), ini yang terpenting,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Kon Yeow mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak akan membuat keputusan bersama PH berhubung pembubaran DUN di tiga negeri pimpinan PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Katanya lagi, PAS kekal dengan pendirian bahawa PRN sesuai diadakan pada Mei, Jun atau Julai dan bersedia membubarkan DUN tiga negeri terbabit apabila tiba masanya kelak.
Ketua Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan Pulau Pinang terbuka untuk berunding dengan lima negeri lain, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan yang ditadbir PH, selain Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam usaha membolehkan PRN dilangsungkan serentak.– BERITA HARIAN