Tumpuan :
Nasional

PRN: Bangunkan Kuala Berang sebagai Hab Pendidikan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Mantan Ketua Nazir Negeri Terengganu yang juga Calon Barisan Nasional (BN) N.23 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Jalaludin Ismail, 58 tahun, bertekad untuk mengangkat Kuala Berang sebagai hab pendidikan bagi Terengganu.

Dalam tempoh sembilan hari lagi berkempen menjelang hari mengundi 12 Ogos depan, beliau meminta rakyat di DUN berkenaan memberi kepercayaan dan mandat kepadanya sebagai wakil rakyat.

“Kuala Berang sudah maju, tidak seperti dulu lagi. Selain daerah Hulu Terengganu ini yang terkenal sebagai hab pelancongan, besar hasrat saya untuk menjadikan Kuala Berang sebagai hab ekonomi berasaskan pendidikan, pertanian dan sejarah.

“Kita sudah ada sekolah berasrama penuh, kolej tingkatan enam, politeknik, dan tinggilah hajat untuk melihat suatu hari nanti di DUN ini akan terbinanya sebuah pusat pengajian tinggi berkonsep eko pelancongan”, ujarnya.

Kuala Berang sememangnya sesuai untuk dijadikan hab pendidikan berikutan sejarah kecemerlangan sekolah-sekolah di Hulu Terengganu serta komitmen kerajaan merancang untuk mengembangkan sistem pendidikan di dalam DUN ini di bawah Rancangan Malaysia ke-14 (RMK14).

“Kita akan usulkan kepada Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi bagaimana kita boleh membantu untuk merealisasikan Kuala Berang sebagai hab pendidikan di Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kuala Berang seusai berkempen di hari kelima.

Dalam perkembangan lain, masalah banjir yang sering berlaku di DUN berkenaan juga akan ditangani.

Jelasnya, beliau akan memastikan projek tebatan banjir di Hulu Terengganu disiapkan segera bagi mengurangkan masalah banjir.

Selain itu DUN N.23 juga turut menjadi nadi ekonomi penduduk dalam sektor pertanian.

Pada masa akan datang, beliau turut merancang untuk membangunkan sistem sokongan kepada pertanian cara moden di DUN berkenaan jika diberi mandat.

Industri hiliran berasaskan sumber pertanian sedia ada akan diperkasa dan pembangunan entrepreneur muda khususnya dalam perniagaan di platform digital atau online akan mula diteroka.

Penyediaan latihan kepada penyedia content media akan turut disokong sebagai nilai tambah kepada pendapatan rakyat di DUN N.23.

Loading...
Terkini