MARANG: Pengerusi Maufakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkemungkinan tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang berkata, bekas Setiausaha Agung UMNO itu difahamkan tidak berhasrat bertanding pada PRN ini kerana Annuar lebih sesuai berperanan di peringkat Pusat.
Katanya, sebelum ini Majlis Syura Ulama Pas telah meluluskan semua calon yang disenaraikan parti itu yang akan bertanding dalam PRN di enam negeri.
Ia termasuk nama Annuar Musa yang turut disenaraikan sebagai calon Pas untuk bertanding dalam pilihan raya itu.
‘Tapi beliau tidak berhasrat nak bertanding, dia nama besar tidak timbul nak bertanding atau tidak kita lebih setuju dia berperanan di peringkat nasional sebab dia tokoh besar “, katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau menyerahkan keputusan mengenai kedudukan bekas pemimpin UMNO itu dalam PRN kepada Pas Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) sentiasa bersikap terbuka dan tidak pernah menutup pintu sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin masih berminat untuk menyertai parti tersebut.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyidin Yassin berkata pihaknya bersedia menerima mana-mana bekas pemimpin UMNO menyertai Bersatu termasuklah Khairy.
“KJ kata dia tak masuk tapi dia still nak sokong PN dlm podcast Keluar Sekejap kenyataannya agak tak negatif terhadap PN jadi itu terserahlah pada dia lah”, ujarnya.
Kedua-dua pemimpin PN itu ditemui di Pejabat Presiden Pas di Marang hari ini.