Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi esok sempena pilihan raya negeri (PRN) enam negeri dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol mahupun gambar parti atau calon bertanding.
Larangan itu juga kepada pemakaian apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan ditetapkan boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai 9,674,456 pengundi bakal mengundi di PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, seramai 122,160 pengundi.
Ikmalrudin turut menasihatkan pengundi untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.
Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.
Justeru, pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Jelasnya, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.
SPR turut menetapkan pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.
Pelaksanaan tatacara pengundian baharu tersebut boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, pihaknya telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan proses pengundian.
Semakan itu bagi memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik. Kesemua peralatan ini diagihkan kepada ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap saluran.
Bagi PRN, sebanyak 3,190 pusat mengundi dan 17,048 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian membabitkan 153,760 petugas.
PRK Parlimen Kuala Terengganu pula melibatkan seramai 1,995 petugas di 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran.