Oleh: Siti Khadijah Jaafar
BUKIT ANTARABANGSA: Tiada sebarang kesalahan berkaitan isu 3R (agama,kaum,raja) dilaporkan sejak hari penamaan calon 29 Julai lalu sehingga ke hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang tempoh itu, hanya laporan berkaitan kesalahan pilihan raya diterima pihaknya.
“Sepanjang tempoh penamaan calon ini tiada langsung isu berkaitan 3R dilaporkan. Laporan yang kita terima kebanyakannya seperti koyakkan poster,bendera, dan flash mob atau perhimpunan tanpa permit”, katanya kepada Buletin TV3.
Setakat malam tadi, sejumlah 1,770 laporan polis diterima membabitkan pelbagai kesalahan pilihan raya.
Daripada jumlah itu, 131 kertas siasatan telah dibuka, manakala sembilan tangkapan dilakukan.
Mengenai proses pengundian di enam negeri, beliau berkata sehingga tengahari tadi, keadaan terkawal.
“Alhamdulillah lancar setakat ni takde insiden saya rasa Insya-Allah kita harap tidak ada insiden yang berlaku yang boleh menjejaskan kelancaran proses undian”,katanya selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Klang Gate bagi DUN Bukit Antarabangsa.
PRN kali ini menyaksikan lebih 35,000 anggota dan pegawai PDRM ditugaskan bagi mengawasi proses pengundian di kesemua enam negeri terlibat.