SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan Isnin depan sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri (PRN) ini pada Sabtu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri berbesar hati sekiranya gabungan PH-BN kekal mentadbir Selangor untuk lima penggal seterusnya.
“Saya ingin mengumumkan bahawa sekiranya gabungan Perpaduan terdiri daripada PH dan BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri Selangor pada 12 Ogos ini dan membentuk kerajaan negeri Selangor, kita bersetuju untuk isytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat negeri ini pada 14 Ogos 2023 iaitu pada hari Isnin depan,” katanya dalam Amanat Khas Menteri Besar Selangor yang disiarkan di Facebook beliau hari ini.
Dalam Amanat Khas itu, Amirudin mengumumkan 5 perkara dalam Tawaran Kita Selangor yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari Kerajaan Perpaduan Selangor.
Antaranya pemberian RM1000 kepada 5000 wanita bekerja bagi mengurangkan kos penjagaan anak, menaikkan elaun imam, bilal dan siak dan 500 petani, pesawah dan nelayan akan menerima insentif pertanian dan perikanan Kita Selangor berjumlah RM1000.