KUALA NERUS: Tiga beg kuning peti undi pusat pengundian Pulau Redang bagi kerusi DUN Batu Rakit, dihantar menggunakan helikopter, hari ini untuk proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, berkata helikopter jenis 9M-KSM disewa khas itu berlepas dari padang bola Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail.
Pesawat itu melakukan tiga kali penerbangan dan mendarat di Lapangan Terbang Pulau Redang.
Penerbangan pertama, tiga petugas SPR termasuk seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM), diiringi seorang polis pengiring berlepas jam 11.02 pagi.
“Penerbangan pertama berlepas ke Lapangan Terbang Pulau Redang pada jam 11.02 pagi dan sebaik mendarat, van akan mengambil peti undi dibawa ke Balai Polis Pulau Redang.
“Tiga peti undi ini membabitkan tiga saluran membabitkan proses pengundian di Pulau Redang, esok,” katanya.
Beliau berkata, tiga saluran itu membabitkan jumlah pengundi di Pulau Redang seramai 1,307 pengundi.
PRN DUN Batu Rakit membabitkan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi, Bazlan Abd Rahman dan Mohd Shafizi Ismail dari PAS.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Bazlan meraih kemenangan tipis dengan majoriti 299 undi selepas memperoleh 10,046 undi menewaskan Mohd Shafizi yang mendapat 9,747 undi .
Manakala calon PKR, Amir Long memperoleh 800 undi dan hilang wang deposit.