PUTRAJAYA : Calon serta petugas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mempunyai gejala influenza digalakkan menggunakan pelitup muka dan melaksanakan kawalan kendiri bagi mengekang penularang penyakit berjangkit itu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, antara gejala influenza adalah demam, sakit badan, kerap bersin, hidung berair, sakit tekak, batuk dan sakit kepala.
“Influenza adalah penyakit berjangkit. Bagi mereka yang ada gejala tidak kira calon atau petugas pilihan raya, kalau ada tanda kena cepat jumpa doktor dan laksana langkah kawalan kendiri.
“Contohnya, pakai pelitup muka semasa kempen luar kawasan dan sebagainya supaya tidak jangkiti orang lain,” katanya dalam sidang media selepas sesi perjumpaan bersama Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan (MAPSU KKM) hari ini.
Beliau mengulas laporan media berhubung berlakunya kesesakan di hospital swasta seluruh negara berikutan peningkatan jumlah pesakit influenza.
Pada Isnin lalu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, keadaan kesesakan di hospital swasta seluruh negara semakin membimbangkan apabila kebanyakan pesakit adalah mereka yang dijangkiti influenza.
Pada Rabu, Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disahkan dijangkiti influenza dan diarahkan oleh doktor untuk berehat selama tiga hari.